Monday 19 May 2014

Luangkan masa dengan keluarga

Luangkan masa dengan keluarga
Berkumpul, melakukan aktiviti bersama memberikan banyak manfaat 

Berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga adalah antara detik yang patut dihargai. Justeru, jika anda mempunyai waktu terluang, tiada salahnya untuk selalu memanfaatkan waktu yang ada itu untuk berkumpul bersama keluarga. 


Cara memanfaatkan bersama keluarga atau family time bermacam-macam dan boleh dipenuhi dengan melakukan apa sahaja aktiviti yang dapat menghimpunkan semua ahli keluarga.



Apa yang pasti, masa bersama keluarga jangan diabaikan kerana ia sangat bermanfaat untuk saling mempereratkan hubungan antara anggota keluarga. Lazimnya, masa bersama keluarga paling tepat adalah pada musim cuti sekolah atau pada hari hujung minggu. Anda dan keluarga dapat berkumpul serta menghabiskan waktu bersama-sama dengan melakukan kegiatan bersama-sama. 

Bagaimanapun, mungkin ada yang bertanya apa sebenarnya fungsi utama masa bersama keluarga. Jawapan yang pasti, sememangnya ada beberapa manfaat yang sangat penting dan apabila menyedarinya, pasti anda tidak mahu lagi mengabaikan masa atau detik seumpama itu. 

1. Eratkan hubungan 
Masa bersama keluarga amat berguna untuk mengakrabkan semua ahli keluarga. Saat keluarga berkumpul, ia akan memberi peluang masing-masing saling berinteraksi secara spontan. Justeru, suasana seperti itu akan meningkatkan hubungan erat semula jadi. 
2. Hilangkan tekanan 
Kegiatan berkumpul dengan keluarga boleh menghilangkan tekanan anda. Anda yang biasanya sibuk dengan pekerjaan akan berasa amat senang hati apabila dapat menatapi wajah dan keletah anak di depan mata. Melihat keceriaan anak ketika itu, pasti akan hilang bebanan di tempat kerja atau segala kekusutan yang bermain di fikiran. Begitu juga anak anda, akan berasa gembira apabila ibu bapa dapat bersama-samanya. 

3. Berkongsi 
Ini adalah masa paling sesuai untuk berkongsi perasaan, pengalaman atau apa saja khabar berita yang baik. Ketika berkumpul dengan anggota keluarga, ia adalah saat yang sangat tepat untuk saling bercerita mengenai semua hal. Dengan kata lain, ini akan membuat semua menjadi terbuka satu sama lain. Membentuk keluarga bahagia dan harmoni, anda tidak perlu terlalu berahsia antara satu sama lain. 

4. Mengajar perkara baru 
Waktu yang ada ini amat sesuai digunakan untuk mengajarkan sesuatu yang baru kepada anak anda. Banyak sekali hal yang baru boleh diajarkan kepada mereka jika anda benar-benar berkumpul bersama keluarga. Walaupun perkara baru yang diajar itu amat remeh, ada kala ia memberi banyak pengajaran dan mana tahu mungkin boleh digunakan pada suatu masa nanti. 

5. Tunjukkan ambil berat 
Apabila berkumpul bersama, ia sangat baik untuk menunjukkan pada anak, sebagai orang tua anda sangat mengambil berat dan selalu mempunyai waktu dengan mereka. Ini membuatkan anak menjadi dekat dengan anda. Jadi, apabila anak ada masalah mereka tidak akan teragak-agak untuk berkongsi dan meminta pendapat anda. 

6. Perhatikan perubahan 
Setiap ibu bapa dan anggota keluarga perlu prihatin dengan perubahan tingkah laku anak supaya pencegahan awal dapat dilaksanakan. Justeru, sebagai ibu bapa, gunakan waktu berkumpul seperti itu untuk memperhatikan perubahan yang terjadi pada anak dan jika perubahan itu ke arah yang tidak baik, segeralah bertindak. 

7. Tingkatkan kebahagiaan 
Waktu bersama keluarga ternyata juga boleh meningkatkan kebahagiaan pada anak anda kerana mereka berasa sentiasa dikasihi dan mendapat perhatian dari ibu bapa. Ini sangat penting untuk meningkatkan pertumbuhan yang lebih baik.

Monday 5 May 2014

Dua maut bertembung

Kuala Terengganu: Seorang lelaki 44 tahun dan seorang wanita 35 tahun maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Tapak Pelupusan Sampah Kampung Sungai Ikan, di sini, 10.45 pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori tanah dari arah Setiu menuju ke Kuala Terengganu hilang kawalan sebaik memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum bertembung sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan. 
Lori tanah berkenaan yang hilang kawalan terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter selepas bertembung dengan kereta Perodua Myvi serta dua kenderaan di belakangnya iaitu sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah van Toyota Hiace. 

Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori tanah, Mohd Ghani Embong, 44, dan pemandu kereta Perodua Myvi Rohaiza Yusof, 35, meninggal dunia di tempat kejadian.

Foto

Seorang lagi pemandu kereta Perodua Myvi yang parah di beberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk rawatan lanjut manakala pemandu serta tiga penumpang van terbabit selamat.


Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.